Salam ceria buat pembaca semua.... Terima kasih kerna masih setia menanti dan membaca coretan saya pada kali ini.
Pada kali ini saya ingin kongsikan sesuatu panduan yang saya baca baru-baru ini dan selepas membacanya, ianya amat memberi kesan kepada saya untuk memperbaiki lagi diri ini. Saya harapkan coretan ini jua dapat memberi panduan yang berfaedah untuk anda kaji dan ikuti....
Sifat ego sebenarnya boleh dihapuskan dengan satu perkataan mudah iaitu 'terpaksa'. Contohnya jika suami anda terpaksa akur untuk dibuli. Terpaksa menghantar anda membeli-belah walau dia tidak suka. Terpaksa mengambil dan menghantar anak-anak ke sekolah kerana anda sibuk ke luar daerah. Terpaksa makan ala kadar setiap hari sebab anda tak mungkin masak dalam keletihan. Terpaksa menghadkan masa melepak bersama rakan-rakan atas arahan permaisuri di rumah.
Sebenarnya perkataan terpaksa ini begitu menolong kita dalam kehidupan seharian sebagai suami isteri. Anda juga sering merasa terpaksa dan ia amat membantu anda dalam menekan sekuat-kuatnya sifat ego di hati.
Bukankah anda terpaksa menerima kedatangan ibu mertua yang sakit sementara anda kebetulan sedang sibuk sangat dengan tugasan di pejabat. Anda terpaksa bermanis muka dengan ipar duai yang selalu buat hal. Anda terpaksa mengurut suami yang mahu bermanja sedangkan anda begitu keletihan dengan kerja rumah.
Kalau lah perkataan terpaksa itu tidak ada dalam kamus hidup anda, pastinya akan huru-hara rumahtangga yang dibina dan kekuasaan ego akan bertakhta di hati. Buat apa susah-susah berkorban untuk suami, kalau suami pun tak mahu tunjukkan kasih sayang dan pengorbanannya?
Buat apa bermanis muka dengan keluarga suami kalu keluarga kita pun dia tak hormat?
Suami pun berkata dalam hati, "Buat apa aku berjimat sedangkan isteri sesuka hati buang duit lampiaskan nafsu shoppingnya?"
Buat apa aku setia kalau isteri macam tunggul mati?
Wahhhh sungguh bahaya kalau sifat ego begini dibiarkan menjadi-jadi!!
Mengapa suami dan isteri mesti memelihara rasa terpaksa dalam hati? Bukankah dia seolah-olah tidak ikhlas? Sebenarnya perkataan itu adalah permulaan daripada sifat ikhlas dengan syarat selepas rasa terpaksa kita mesti betulkan niat menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.
Awalnya memang terpaksa, tapi lama kelamaan setelah hati terbiasa berbuat baik kepada pasangan, maka hati akan semakin faham bahawa segala kebaikan itu akan dipandang Allah SWT dengan pandangan rahmat. Barulah ketika itu ikhlas datang dalam hati dan perbuatan kita. Sebenarnya ada banyak cara untuk melemahkan sifat ego dalam diri kita, antaranya ialah:
1. Fahami Situasi Semasa
Tak mungkin seorang suami enggan menghargai isterinya jika isteri betul-betul mengambil berat kecuali dia sedang dalam keadaan tidak normal. Suami yang normal mesti membalas cinta dengan cinta, sentuhan dengan sentuhan, pertolongan dengan pertolongan, ambil berat dengan ambil berat juga.
Tak mungkin dia tak merespons kehangatan isterinya. Anda sebagai isteri juga mesti faham suami juga manusia sama seperti diri anda, kalau anda ada masalah atau tertekan atas sebab-sebab tertentu, pasti layanan anda kepada suami terganggu, bukan?
Maknanya, jangan kerana suammi tak balas kebaikan anda, lalu anda pun bawa diri dan mementingkan ego sendiri. Bagaimana kita melayannya, begitulah dia melayan kita. Kita sedia faham bahawa situasi amat mempengaruhi sikap manusia.
Suami yang ego memanglah senang nak dilawan dengan ego juga tetapi sampai bilakah anda mahu terbelenggu dengan situasi yang sama? Jadi, bukankah elok membiarkan situasi yang panas berlalu dengann sikap lebih bersahaja.
2. Tunjuk Pada Tuhan
Orang yang ego sentiasa mahu menunjuk dirinya benar dan orang lain salah. Harap anda tak terpancing dengan sikap pasangan yang ego. Bukankah lebih baik menjadi orang yang suka menunjukkan dirinya benar di hadapan Tuhan bukan di mata manusia?
Anda akan lebih berasa tenang jika anda tak peduli dengan sikap ego manusia yang menganggu anda kerana Allah sentiasa menjadi sandaran dan rujukan hati. Hati yang sentiasa bersama Allah tak kan sempat merasai pedihnya disakiti orang yang ego, sebab hati itu begitu sibuk memikirkan tentang kebaikan yang hendak dilakukan. Jadi tak sempatlah nak pedulikan orang ego.
3. Kalau Cinta, Ego Jadi Nikmat
Pelik tapi benar, kalau sedang jatuh cinta, manusia takkan peduli dibuli kekasih. Ingat saja masa-masa anda dan suami jatuh cinta. Pasti dengan senang hati dan bangganya anda jadi mangsa ego suami.
Disuruh apa pun anda sanggup buat, minta apa pun anda akan beri, marah sedahsyat mana pun hati anda tetap berbunga bila berjumpa. Senangnya nak hapuskan sifat ego di hadapan suami, cukup dengan usaha anda untuk jatuh cinta lagi kepadanya berkali-kali.
Bagaimana mendapatkan mood jatuh cinta? mahu menyuburkan rasa romantik? Salah satunya anda mesti mencintai diri anda dahulu. Cintai hati anda yang mahu berbuat baik, wajah anda yang sentiasa senyum redha, tangan dan kaki yang mahu berkorban untuk orang yang dicintai. Bercerminlah dan katakan 'hai si cantik' kepada wajah anda yang berseri. Barulah aura itu menyentap hati suami untuk jatuh cinta lagi hehehe.
Ego tak ego, kehidupan berumahtangga ini mesti diteruskan. Jangan biarkan kaki anda berhenti melangkah ke matlamat bahagia kerana sakit hati dengan ego suami. Ego sifatnya datang dan pergi, tapi cinta sejati yang menentukan apakah anda berdua dapat bertahan dalam suasana penuh toleransi.
Friday, April 15, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment